CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

My Random Musings

Powered by Stuff-a-Blog

Friday, January 02, 2009

belanja perkahwinan

Sudahkah anda menetapkan belanjawan untuk belanja perkahwinan anda? Jika belum mungkin senarai di bawah dapat membantu anda menghitung berapakah anggaran yang perlu disediakan untuk melangsungkan majlis perkahwinan anda.

1. Wang hantaran (7,000)
2. Barang hantaran
3. Kad jemputan
4. Katering (10,000)
5. Kemah/kanopi
6. Pelamin
7. Baju pengantin
8. Mak andam
9. Jurugambar
10. Hiasan bilik pengantin
11. Bunga telur
12. Kompang
13. Sistem audio
14. DJ

Mungkin jika dicongak, anda akan membelanjakan belasan ribu ringgit atau mungkin melebih 20 ribu ringgit. Adakah anda telah bersedia untuk perbelanjaan sebanyak itu?

Bijak Menabung

Oleh Suraiya Mohd Nor

PEPATAH Melayu ada berkata: Sediakan payung sebelum hujan dan Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Wang bukanlah segala-galanya dalam kehidupan tetapi hampir segala-galanya memerlukan wang. Dalam hidup serba moden terutamanya apabila tinggal di bandar besar, anda pasti berasa wang mengalir bagaikan air. Sekali pergi ke pasar basah saja, RM50 sudah tidak lagi mencukupi. Jika membeli-belah di pasaraya besar, dalam kocek sekurang-kurangnya mesti ada RM300 - RM400 sama ada untuk membeli keperluan bulanan ataupun lain-lain keperluan. Inipun adakalanya tidak mencukupi.

Lazimnya, ramai antara kita hanya akan menabung setelah ditolak semua perbelanjaan. Ada kalanya nilainya menjadi defisit kerana berbelanja lebih daripada pendapatan. Jika ini berlaku, bagi segelintir kad kredit menjadi penyelamat sedangkan ia bukan amalan sihat kerana ia akan menjerut anda dalam kemelut hutang yang tiada kesudahan.

Sebagai permulaan, bagaimanakah cara anda menabung? Adakah anda menggunakan formula berikut:

A. PENDAPATAN - PERBELANJAAN = TABUNGAN

B. PENDAPATAN - TABUNGAN = PERBELANJAAN atau

C. PENDAPATAN - TABUNGAN - PELABURAN = PERBELANJAAN

Kebanyakan kita menggunakan formula pertama iaitu akan berbelanja dulu dan bakinya baru disimpan. Cara pertama ini menunjukkan anda belum lagi dapat menguruskan kewangan anda dengan baik dan kemungkinan akan terjebak menggunakan kad kredit apabila keinginan berbelanja melebihi daripada keinginan menyimpan.

Bagi yang mula bekerja, memang akan ghairah berbelanja kerana mempunyai pendapatan sendiri. Namun setelah bertahun-tahun tetapi masih juga kering ataupun pokai setiap hujung bulan, anda mula akan tertanya-tanya ke mana perginya wang anda? Anda tidak nampak wang anda berkembang. Lama kelamaan akan timbul rasa kecewa, resah, diri berasa letih, penat bekerja tetapi tidak menunjukkan hasilnya. Hati anda juga akan berasa tidak tenteram kerana jika berlaku kecemasan anda tidak mempunyai sebarang tabungan.

Cara kedua pula hanya memastikan anda tidak menjadi miskin ataupun papa kedana. Wang yang anda simpan setiap bulan itu akan bertambah jumlahnya dan dapat membantu anda pada saat-saat kecemasan. Manakala cara ketiga memastikan anda menjadi kaya ataupun hidup mewah. Ini kerana sebahagian wang pendapatan anda bukan saja disimpan tetapi juga dilaburkan dalam beberapa instrumen pelaburan untuk sesuatu jangka masa tertentu bagi mendapat keuntungan.

Sebelum melaksanakan perancangan anda itu, tentukan dulu matlamat tabungan itu. Anda sekurang-kurangnya ada lapan jenis tabungan bergantung kepada keperluan. Contohnya tabungan untuk berumahtangga, deposit rumah atau kereta idaman, percutian, haji dan umrah, simpanan persaraan, kecemasan, insurans dan cukai jalan dan juga Aidilfitri.

Ada simpanan ini yang bersifat jangka masa pendek dan ada untuk kegunaan jangka masa sederhana dan panjang. Tabungan jangka masa pendek seperti simpanan untuk membayar insurans dan cukai jalan kenderaan, percutian,untuk menyambut Aidilfitri dan juga untuk berumahtangga. Simpanan jangka masa sederhana pula adalah seperti menyimpan untuk membeli rumah ataupun kereta idaman, juga haji dan umrah sementara tabungan jangka masa panjang meliputi simpanan untuk persaraan hari tua.

Bagi setiap tabungan ini anda perlu tentukan berapakah jumlahnya yang perlu dikumpul misalnya untuk membeli rumah idaman yang harganya RM300,000 deposit yang anda perlukan adalah RM30,000. Jumlah itulah yang perlu anda kumpul. Jika menyimpan untuk berumahtangga, dapatkan jumlah sebenarnya dan jumlah itulah yang akan menjadi matlamat tabungan anda.

Tabungan kecemasan pula perlu mempunyai dana atau wang terkumpul sekurang-kurangnya tiga bulan gaji kasar anda.

Setelah menentukan jumlah yang perlu dikumpul bagi setiap jenis tabungan itu berapakah yang perlu anda simpan setiap bulan? Jika mengikut prinsip buku The Richest Man in Babylon, hanya 10% daripada pendapatan diketepikan untuk disimpan dalam jangka masa panjang. Yang idealnya jika anda dapat menyimpan sekurang-kurangnya 30% hingga 40% daripada wang gaji kasar anda.

Sebagai permulaan, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan mencatat semula perbelanjaan anda itu dalam sebuah buku khas setiap hari. Setiap hujung bulan anda kelaskan mengikut kategori seperti perbelanjaan untuk bayaran tetap (bayaran pinjaman rumah, kenderaan ataupun peribadi), telefon dan utiliti, makan luar, keperluan dapur, balik kampung ataupun perbelanjaan peribadi. Setelah melihat aliran tunai wang, anda boleh membuat penilaian sendiri yang mana harus dikurangkan bagi tujuan penjimatan.

Ada masanya kita berasa terpanggil untuk membeli-belah apatah lagi apabila adanya promosi ataupun musim jualan mega. Sebulan sekali membelai diri memang digalakkan tetapi berbelanja biarlah berpada-pada.

Prinsip paling penting, bayar diri anda dulu sebagai upah setelah penat bekerja seharian selama sebulan. Anda tentu lebih tenang apabila mempunyai banyak wang dalam tangan daripada terpaksa mengikat perut sementara menanti hujung bulan!

Artikel ini ditulis oleh Perunding Kewangan, Inspired Vision Agency, Kelana Jaya, Suraiya Mohd Nor

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin